Wednesday, April 30, 2014




Esei -Jangkitan Penyakit Dalam Kalangan kanak-kanak

Jangkitan Penyakit Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Jangkitan penyakit berjangkit di kalangan kanak kanak semakin meningkat.pelbagai pihak seperti NGO haruslah bekerjasama membantu negara-negara yang sedang menghadapi permasalahan ini terutama di negara-negara mundur.
bil
             idea
                      huraian
1
. Kanak-kanak terdedah kepada persekitaran kotor.
Di negara-negara mundur, penjagaan kebersihan diri dan persekitaran tidak diamalkan. Sumber air yang digunakan mungkin tidak bersih manakala persekitaran tempat tinggal kotor dan tidak terurus. Kanak-kanak yang tidak menjaga kebersihan diri akan mudah menghidap penyakit seperti malaria, taun dan penyakit kulit..
2
Kekurangan kemudahan perubatan dan kepakaran
Kemudahan kesihatan yang lapuk dan kekurangan pakar perubatan menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat rawatan yang sempurna. Kanak-kanak yang tidak diberi rawatan segera mudah dijangkiti penyakit berjangkit.
3
 Memberi suntikan imunisasi bagi penyakit-penyakit tertentu kepada kanak-kanak
 Di negara-negara mundur, kebanyakan penduduknya miskin. Oleh itu, suntikan imunisasi percuma hendaklah diberikan kepada kanak-kanak. Negara-negara maju khususnya yang mengeluarkan vaksin pencegahan hendaklah membantu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), melalui pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya hendaklah membekalkan vaksin dan ubat-ubatan dengan harga yang lebih murah kepada negara-negara miskin.
4
. Menjaga kebersihan dan kesihatan diri.
Kesedaran harus ditanam dalam diri setiap penduduk agar menjaga kebersihan dan kesihatan diri. Kebersihan yang merangkumi kebersihan diri, rumah dan kawasan penempatan mestilah ditekankan. Sistem pengairan, pembuangan sampah sarap dan sistem pembentungan mestilah dilakukan dengan sistematik. Kesedaran kebersihan perlu disemai kepada penduduk sejak kecil, terutamanya melalui pendidikan.
5
Menyediakan kemudahan perubatan dan kepakaran
Negara-negara maju hendaklah membantu negara miskin dengan membantu menyediakan kemudahan perubatan moden. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui WHO juga perlu menghantar pakar perubatan ke negara-negara miskin bagi memberi rawatan kepada kanak-kanak di negara berkenaan.

Penutup:

Kesimpulannya taraf kesihatan di negara-negara mundur haruslah ditingkatkan dan kempen kesedaran tentang pentingnya kebersihan dan kesihatan diri dikalangan kanak kanak diperluaskan melalui media massa

Faktor-faktor yang menjejaskan Integriti



Faktor-faktor yang menjejaskan integriti boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu, kepimpinan, sistem dan prosedur, struktur dan institusi, budaya dan individu.


1. Kepimpinan
•             Kepimpinan sangat penting dalam mencorakkan budaya organisasi dan masyarakat serta tahap integriti.
•             Kepimpinan pelbagai peringkat perlu mempunyai azam dan iltizam yang teguh untuk memberikan pedoman, dan petunjuk serta melakukan perubahan untuk kebaikan.
•             Iltizam yang lemah akan menyebabkan merosotnya integriti.
•             Begitu juga pemimpin yang tidak memberikan teladan yang baik, lebih-lebih lagi mereka yang “cakap tidak serupa bikin”.
•             Pemimpin juga mesti mematuhi undang-undang, prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
•             Sebarang tindakan pemimpin mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan undang-undang, prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan akan menjejaskan integriti.

2. Sistem dan Prosedur
•             Sistem dan prosedur merangkumi pelbagai dimensi.
•             Enam aspek sistem dan prosedur yang boleh menjejaskan integriti ialah:
•             Kurang ketelusan dalam urusan yang melibatkan kepentingan awam, misalnya dalam urusan tender.
•             Kelemahan sistem, prosedur dan garis panduan bagi menjalankan tugas.
•             Kelemahan ini boleh menyebabkan ketidakcekapan, kecelaruan dan perselisihan pendapat dalam kalangan petugas.
•             Penguatkuasaan yang tidak berkesan dan ada kalanya dilakukan secara berpilih.
•             Kurang pemantauan dan penilaian tentang keberkesanan sesuatu strategi atau program.
•             Keupayaan sumber yang terhad sama ada sumber manusia ataupun material sehingga menjejaskan keupayaan penguatkuasaan.
•             Kerangka undang-undang yang lapuk, kurang jelas dan adanya percanggahan dalam sesetengah undang-undang.

3. Struktur dan institusi ialah komponen penting dalam menjamin kelancaran pentadbiran Kerajaan, swasta dan masyarakat umum.
•             Struktur sesebuah organisasi perlu kemas, terfokus serta mempunyai matlamat yang jelas dan munasabah.
•             Bahagian-bahagian di dalamnya haruslah sesuai dengan tugasnya.
•             Struktur organisasi juga perlu diubah dan diperkemas dari semasa ke semasa bagi menangani tuntutan dan cabaran baru.
•             Struktur yang tidak kemas, kurang fokus dan lapuk akan membazirkan sumber dan menyebabkan tidak berkesan untuk mencapai matlamatnya.
•             Institusi memainkan peranan yang amat penting dalam keseluruhan sistem pentadbiran.
•             Skop, tugas dan tanggungjawab antara institusi perlu diperincikan dan dikoordinasi dengan baik.
•             Pertindihan dalam skop, tugas dan tanggungjawab boleh mengakibatkan persaingan tidak sihat ataupun konflik antara institusi, serta pengabaian tanggungjawab.
•             Kurang koordinasi antara institusi pula boleh menyebabkan pembaziran sumber dan tugas yang dilakukan tidak sempurna.
•             Institusi yang mempunyai matlamat atau kepentingan yang bertentangan antara satu sama lain juga boleh menjejaskan integriti.

Praktis Menjelang Peperiksaan Pelajar Pra U SMK Seri Pagi



Praktis 1  - 01.05.2014

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan kumpulan ahli ikhtisas berdaftar di Malaysia mengikut kaum bagi tahun-tahun yang diliputi.
Usaha untuk menambahkan bilangan ikhtisas berdaftar mengikut kaum di Malaysia, yang terdiri daripada peguam, akauntan, guru, doktor perubatan, arkitek dan sebagainya, adalah sejajar dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional.  Usaha ini juga merupakan langkah kerajaan untuk mencapai matlamat penyusunan semula masyarakat di Malaysia.
Setelah DEB dan Dasar Pembangunan Nasional diperkenalkan, terdapat sejumlah 24 550 orang ahli ikhtisas Melayu dan Bumiputera berdaftar berbanding dengan sejumlah 35 265 orang ahli ikhtisas Cina, 7964 orang ikhtisas India dan 802 orang ahli ikhtisas kaum lain pada tahun 1995.
Strategi mengubah dan memperbaiki tahap pendidikan penuntut Melayu di bawah DEB dan Dasar Pembangunan Nasional telah membolehkan semakin ramai orang Melayu dan Bumiputera digelar golongan profesional berdaftar. Peratusannya pada tahun 2000 telah meningkat kepada 38.49% daripada keseluruhan 82 085 orang ahli ikhtisas berdaftar.
Pertambahan ahli ikhtisas dalam kalangan orang Cina ialah 4855 orang berbanding dengan 35 265 orang ahli ikhtisas Cina berdaftar pada tahun 1995. Sementara itu, dalam kalangan orang India, peratusnya tidak berubah pada tahun 1995 dan 2000, iaitu pada kadar 11.6% sungguhpun bilangan ahli ikhtisas India meningkat kepada 9540 orang pada tahun 2000.  Dalam kalangan kaum lain pula, bilangan telah bertambah menjadi 830 orang ahli ikhtisas berdaftar.
Pertambahan bilangan keseluruhan ahli profesional di Malaysia pada tahun 2005 ialah 10.66% dan melahirkan sejumlah 90 834 orang ahli ikhtisas. Pada tahun 2005, terdapat peningkatan seramai 2155 orang ahli professional Melayu dan Bumiputera berbanding tahun 2000. Ahli ikhtisas Cina pula bertambah menjadi 45 624 orang dan ahli ikhtisas India ialah 10 340 orang, manakala selebihnya terdiri daripada ahli ikhtisas kaum lain.
Jumlah ahli profesional berdaftar pada tahun 2010 dianggarkan seramai 97 038 orang daripada jumlah ini, 36 728 orang atau 37.85% terdiri daripada ahli profesional Melayu dan Bumiputera, manakala 47 135 orang merupakan ahli professional Cina. Sementara itu, 11 945 orang atau 12.31% terdiri daripada ahli ikhtisas India, dan ahli ikhtisas daripada kaum lain ialah 1230 orang.


(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga,2001-2010)


Praktis 2

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf bar yang sesuai untuk menunjukkan kedudukan guna tenaga buruh mengikut sektor di Malaysia antara tahun 2004 hingga tahun 2006.
Bilangan guna tenaga buruh sesebuah negara bergantung pada perkembangan ekonomi negara berkenaan. Pada tahun 2004, jumlah tenaga buruh di Malaysia ialah 10 905.6 ribu orang.
Pada tahun 2004, 5352.2 ribu orang bekerja dalam sektor perkhidmatan. Dalam sektor pembuatan, bilangan guna tenaga buruh yang terlibat ialah 2813.1 ribu orang. Dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula, bilangan guna tenaga buruh ialah 1512.9 ribu orang.  Sementara itu, bilangan guna tenaga buruh dalam sektor pembinaan ialah 765.6 ribu orang atau 7.02% daripada jumlah keseluruhan guna tenaga buruh pada tahun 2004.  Bilangan guna tenaga buruh dalam sektor perlombongan dan kuari adalah paling rendah dengan 461.8 ribu orang.
Jumlah guna tenaga buruh pada tahun 2005 menunjukkan peningkatan sebanyak 1428.6 ribu orang atau 13.10% berbanding dengan tahun 2004.  Bilangan guna tenaga buruh dalam sektor perkhidmatan masih mendahului sektor lain dengan 6744.5 ribu orang.  Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mengalami penurunan sebanyak 69.2 ribu orang berbanding dengan tahun 2004, manakala sektor pembuatan mengalami peningkatan sebanyak 58.5 ribu orang. Selain itu, sektor pembinaan mengalami peningkatan sebanyak 46.4 ribu orang berbanding dengan tahun 2004, manakala sektor perlombongan dan kuari mengalami sedikit pertambahan sebanyak 0.6 ribu orang guna tenaga buruh.
Jumlah tenaga buruh di Malaysia terus meningkat pada tahun 2006 berikutan kewujudan peluang pekerjaan baru dalam pelbagai sektor kecuali sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.  Jumlah guna tenaga buruh dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merosot sebanyak 41 ribu orang atau 2.48% berbanding dengan tahun 2005. Sektor perkhidmatan masih mendahului sektor lain dengan sumbangan guna tenaga buruh yang paling tinggi, iaitu sebanyak 55.5% atau 7016.8 ribu orang. Guna tenaga buruh dalam sektor pembuatan bertambah sebanyak 1.14% kepada 2904.2 ribu orang. Sektor pembinaan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 45.1 ribu orang pada tahun 2006 berbanding dengan tahun 2005. Ekoran tiada lombong baru dibuka dan kemerosotan pengeluaran bijih timah, bilangan guna tenaga buruh dalam sektor ini mengalami sedikit penurunan, iaitu sebanyak 1.9 ribu orang.
(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Ekonomi 2005/2006, Kementerian Kewangan Malaysia







Tuesday, April 29, 2014



Latest News PA

 Esok ada  Ujian Trail 2 . Diharapkan pelajar lebih bersedia.
Beri Tumpuan kepada  dasar Kebudayaan, Dasar Penswastaan, Dasar Automobil, MBE...
Graf Bar memesong, Piramid dan Carta Pai....
Usaha  dengan gigih... pasti berjaya.... Cikgu Lengam

Monday, April 28, 2014

PERPADUAN DAN PENDAMAIAN ETNIK



Perpaduan dan perdamaian etnik

Oleh: PROF. MADYA KAMARULZAMAN ASKANDAR
Negara yang dianggap paling maju sekalipun, harus berusaha melakukan penyelidikan dan inovasi untuk terus menjadi lebih maju. Begitu juga negara yang dianggap paling aman juga harus terus berusaha mengekalkan keamanan. Malaysia bukanlah negara yang paling maju mahupun yang paling aman. Kita mempunyai wawasan yang tertentu untuk menjadi negara maju dan banyak tanda menunjukkan bahawa kita akan dapat mencapai sasaran kita tepat pada waktu yang ditetapkan. Kita juga terus berusaha dan cuba mencari jalan bukan saja untuk mengekalkan keamanan yang sedia ada, tetapi mencari penyelesaian kepada isu-isu yang boleh memantapkan keamanan dalam masyarakat Malaysia. Salah satu isu fokus yang sering memberikan cabaran kepada kita ialah isu hubungan etnik.
Hubungan etnik adalah antara isu yang paling penting dalam sejarah pembentukan negara-bangsa Malaysia. Dalam sebuah negara multi-etnik, dengan sistem politik yang berpaksikan etnik, dengan banyak parti politik yang ditubuhkan untuk mewakili kepentingan kumpulan etnik mereka yang tersendiri, etnisiti sering dipolitikkan untuk mendapat undi, kuasa, dan kekuasaan. Etnisiti dalam konteks ini bukan sahaja merupakan simbol yang mencerminkan, menggambarkan, atau mewakili sesuatu kumpulan, tetapi ianya juga boleh dan sering digunakan sebagai alat mendapatkan sesuatu kepentingan. Etnisiti, kalau dilihat secara kasar, mempunyai kedua-dua konotasi positif dan negatif, tergantung kepada bagaimana ianya diterima dan digunakan. Manusia, sebagai individu, maupun sebagai sebahagian dari kelompok yang lebih besar, t        idak boleh lari dari isu-isu, simbol, dan label etnisiti. Kita juga tidak tidak boleh lari dari terlibat dengan aksi tolak-tarik dan perdebatan positif-negatif etnisiti.
Yang penting ialah kita mengakui dan menerima bahawa wujudnya senario ini dan berusaha supaya cara penyelesaian yang terbaik dapat ditimbulkan. Perkara-perkara dan nilai-nilai yang boleh dianggap sebagai positif haruslah ditonjol dan difokuskan. Perkara yang negatif dikurangkan, sementara usaha-usaha yang berterusan dijalankan untuk mencari penyelesaian yang sesuai kepada masalah tersebut. Tidak dilupakan atau diketepikan, tetapi dikurangkan untuk sementara waktu, dan dihadapi bila senario berubah menjadi lebih baik dan masyarakat lebih bersedia untuk menghadapinya.
Isu hubungan etnik dan masalah yang timbul dari “hubungan” ini bukanlah perkara yang baru dalam konteks Malaysia. Masalah tinggalan era penjajah ini kerap timbul dari masa ke semasa walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengurus dan menyelesaikannya. Dalam beberapa tahun ini sahaja, kita berhadapan dengan insiden-insiden yang mencabar keutuhan hubungan etnik di negara ini dan memberi tanda tanya tentang keberkesanan program-program yang telah diperkenalkan untuk mewujudkan perdamaian dan perhubungan etnik yang positif. Antara insiden besar termasuk kes-kes Kampung Rawa pada tahun 1998 dan Kampung Medan pada tahun 2001. Di samping itu, data-data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perpaduan mengenai insiden konflik sosial dari tahun 1998 hingga 2004 menunjukkan bahawa walaupun insiden konflik kerana isu etnik atau perkauman adalah sedikit (cuma 1 peratus dari semua jenis isu konflik), insiden-insiden lain yang melibatkan isu-isu seperti sosial, agama, keselamatan, politik, dan ekonomi, banyak melibatkan aktor atau pelaku dari kumpulan etnik yang berbeza.
Ini boleh dibaca dengan dua cara. Satu, kita tidak perlu bimbang dengan isu etnik kerana ianya bukan isu utama yang menimbulkan konflik di negara ini. Kedua, kita harus meneruskan usaha memperbaiki hubungan etnik kerana majoriti insiden konflik sosial yang berlaku melibatkan pihak atau aktor dari kumpulan etnik yang berbeza. Bahayanya jika insiden-insiden ini tidak ditangani dengan baik, mereka mungkin akan meningkat menjadi konflik etnik. Bahayanya juga jika hubungan etnik ahli masyarakat Malaysia tidak baik, trend ini akan berterusan dan kesemua insiden yang berlaku akan ditafsirkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai konflik etnik, kerana aktor-aktornya adalah daripada kumpulan etnik yang berbeza. Selain insiden-insiden konflik sosial yang tercatat ini, indikator lain perhubungan etnik adalah tanggapan masyarakat sendiri terhadap status dan tahap perhubungan antara etnik yang dibuat secara pemerhatian kasar dan analisa oleh ahli masyarakat.
Saban hari kita sering mendengar keluhan-keluhan tentang status dan tahap hubungan etnik. Ini selalunya dilakukan oleh beberapa kelompok. Pertama, golongan yang pernah melalui era perpaduan dalam masyarakat. Yang membesar, bermain, belajar, dan berkongsi sejarah dalam masyarakat majmuk dengan kepelbagaian etnik, budaya, dan agama. Golongan ini sering membuat perbandingan antara masyarakat sekarang dengan masyarakat dulu, dan melihat masyarakat sekarang sebagai sudah hilang perpaduan, dan hubungan etnik sekarang tidak lagi semurni dulu kerana telah dikotori oleh politik – ahli politik dan kepentingan politik.

Kedua, golongan yang melihat hubungan etnik sebagai sesuatu yang tidak relevan. Yang melihat kepentingan sendiri, sama ada individu ataupun kelompok, ekonomi atau politik, sekarang atau masa depan, sebagai sesuatu yang lebih penting. Usaha mencapai perpaduan yang dijalankan dilihat sebagai boleh melemahkan (secara sengaja atau tidak) kepentingan dan kedudukan mereka yang selalunya sangat fokus, kepada etnisiti, bahasa, budaya, ekonomi, serta politik. Keluhan-keluhan ini harus ditanggapi sebagai cabaran pembangunan negara.
Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh hubungan etnik bukannya mudah. Pelbagai usaha dijalankan termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada awal tahun tujuhpuluhan yang memperkenalkan program-program memupuk perpaduan dalam masyarakat. Antara program-program yang telah diperkenalkan oleh negara untuk menangani masalah ini termasuklah Rukun Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional; penubuhan Sekolah Wawasan; Program Latihan Khidmat Negara di samping banyak lagi program yang memfokuskan kepada kelompok belia ini; program "Kongsi-Raya" dan lain-lain yang berusaha mempromosi perpaduan dan kefahaman tentang budaya yang berbeza melalui cara meraikan hari kebesaran semua kelompok secara bersama.
Di peringkat pengajian tinggi pula, fokus diberikan kepada pembelajaran dan pemahaman budaya yang berbeza dengan harapan akan timbul apresiasi di kalangan mahasiswa terhadap budaya-budaya tersebut. Pengenalan kursus-kursus ini selalunya bersesuaian dan bertindan dengan cabaran-cabaran terkini yang dihadapi oleh negara. Contohnya, bila Islam sedang dilihat oleh sebahagian kelompok sebagai agama yang sering dikaitkan dengan keganasan dan penggunaan kekerasan, kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara diperkenalkan. Ini diteruskan di peringkat nasional dengan memperkenalkan konsep Islam Hadhari supaya Islam dapat dikaitkan kembali dengan fokusnya yang sebenar iaitu pembangunan insan, pembangunan masyarakat, dan perdamaian.
Pengenalan kursus hubungan etnik di institusi pengajian tinggi negara yang begitu hangat diperdebatkan pada masa ini pula adalah sebagai salah satu usaha untuk menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam proses pembangunan negara. Ianya tidak bersifat reaktif, kerana ini bukanlah masalah yang baru, tetapi lebih kepada meneruskan kesinambungan dalam usaha kita mencari jalan penyelesaian kepada isu ini. Huraian di atas yang berdasarkan kajian dan sejarah menunjukkan bahawa ianya adalah sesuatu yang sangat perlu. Fokusnya kepada golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi adalah sesuai, dan usaha-usaha Kementerian Pengajian Tinggi haruslah disokong dan dibantu. Pengenalan kursus seumpama ini adalah yang terbaik kepada golongan ini kerana di samping didedahkan kepada konsep-konsep hubungan etnik, mereka juga diberi peluang untuk melakukan aktiviti secara bersama yang bukan sahaja dapat menambah ilmu tentang isu yang difokuskan, tetapi lebih penting lagi dapat menggalakkan interaksi antara mereka. Contohnya, di Universiti Sains Malaysia (USM), di samping mengikuti kuliah tentang hubungan etnik di negara ini, mahasiswa juga diletakkan di dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk menjalankan praktikum atau kerja luar dengan menfokuskan kepada isu-isu berkenaan masyarakat Malaysia sebagai bahan kajian. Isu-isu ini merujuk kepada kepelbagaian etknik di Malaysia dengan harapan akan timbul dan berkembang apresiasi mahasiswa terhadap kekayaan budaya, adat resam, dan cara hidup yang berbeza di negara ini. Tajuk-tajuk yang dipilih oleh mahasiswa sebagai tajuk praktikum ini pada semester yang lalu termasuk kajian terhadap alat muzik, tarian, atau pakaian tradisional; kepercayaan-kepercayaan dan hari-hari perayaan yang utama; tokoh dan karyawan dalam sejarah pembentukan dan pembangunan negara; serta amalan-amalan seharian termasuk apa yang dimakan, dijadikan sebagai permainan, dan lain-lain lagi. Penekanan diberikan khususnya kepada mempelajari dan memahami apa yang menjadi amalan kumpulan etnik yang lain. Interaksi dalam kumpulan yang berbilang kaum serta interaksi dengan responden untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tajuk yang dipilih dapat memberi ruang dan peluang mengeratkan lagi hubungan etnik antara mahasiswa di institusi pengajian tinggi, serta antara mereka dengan ahli masyarakat.
Ini semua dilakukan dalam keadaan kita sedar bahawa usaha perpaduan dan memantapkan hubungan etnik bukanlah sesuatu yang hanya boleh “diajarkan” kepada masyarakat, terutamanya golongan muda. Ianya adalah sesuatu yang seharusnya dirasai, dinikmati, dan dilalui bersama. Ia seharusnya dimulakan pada peringkat yang paling awal kerana pada waktu itulah kanak-kanak mempelajari pelajaran-pelajaran yang paling berguna dalam hidup mereka dan yang akan menjadi pegangan hidup mereka nanti. Pada waktu itu juga mereka secara umumnya belum diwarnai dengan warna-warna kehidupan dengan efeknya yang pelbagai, positif maupun yang negatif. Kita juga tahu bahawa pengaruh kepada mereka yang paling utama pada ketika itu ialah ibu bapa, ahli keluarga, dan guru. Inilah golongan-golongan yang seharusnya menjadi sasaran kita kerana di sinilah semuanya bermula.
Kembali kepada hubungan etnik di IPT, pendekatannya boleh dimantapkan lagi. Memantapkan program ini memerlukan kita melihat isu hubungan etnik di negara ini dari kaca mata perpaduan dan perdamaian. Memantapkannya juga memerlukan kita memberi ruang yang lebih luas kepada golongan akademik, terutama pensyarah dan mahasiswa, untuk berbincang secara jujur dan ikhlas tentang isu-isu yang mungkin dianggap sensitif. Tafsiran, asumsi, dan andaian mereka mungkin berbeza-beza bila membincangkan konsep-konsep hubungan etnik. Begitu juga dengan pendapat mereka tentang sejarah pembentukan negara dan pelajaran masa silam, tetapi kepelbagaian pendapat seperti ini tidak dapat dielakkan dalam negara yang mempunyai kepelbagaian budaya dan yang kaya dengan kepelbagaian ini. Kepelbagaian pendapat ini harus dipertahankan jika kita ingin menjadi negara yang matang. Jika golongan akademik mentafsirkan konsep dan sejarah sedemikian rupa, peranan masyarakat bukanlah untuk menyekat tafsiran ini, tetapi membincangkannya, dan memberikan ruang untuk ianya dibincangkan. Perbincangan ini juga seharusnya berlaku dalam senario yang tidak melibatkan golongan politik dengan kepentingan politik yang kadang-kadang agak sempit.
Memantapkannya juga memerlukan kita kembali menekankan perhubungan antara hubungan etnik dengan perpaduan dan dengan perdamaian. Hubungan etnik adalah sinonim dengan perpaduan. Perpaduan adalah kedua-dua matlamat akhir dan juga proses yang dapat membantu kita mencapai objektif bersatu-padu. Perpaduan sebagai matlamat akhir adalah satu keadaan di mana masyarakat yang berbilang etnik dapat hidup dalam satu masyarakat sebagai sebuah komuniti masyarakat Malaysia. Perbezaan, yang jelas dan tidak jelas, masih tetap wujud dalam komuniti ini kerana setiap kumpulan membawa keistimewaan mereka yang tersendiri, dengan ciri-ciri agama, bahasa ibunda, makanan, pakaian, budaya, dan adat resam yang telah dipengaruhi oleh sejarah perkembangan kumpulan mereka. Perbezaan-perbezaan ini, walaubagaimanapun tidak mengganggu (atau tidak seharusnya mengganggu) proses perpaduan dan pembentukan komuniti ini. Sejarah telah membawa terwujudnya komuniti ini dan kepada terbentuknya sejarah yang dikongsi bersama, sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah sekarang ini.
Perpaduan sebagai satu proses juga mengajak kita menggunakan kaedah dan pendekatan yang inklusif (inclusive) dan bukannya eksklusif (exclusive). Matlamat negara haruslah dicapai dengan melibatkan semua kelompok masyarakat dan bukan hanya segelintir ahlinya sahaja. Proses ini memerlukan penglibatan semua golongan dan lapisan, bergerak bersama untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama.
Perpaduan seterusnya adalah sinonim dengan perdamaian, yang juga merupakan matlamat akhir yang diimpikan, di samping proses yang boleh membawa kita ke matlamat tersebut. Jika cara yang digunakan dalam proses untuk mendapatkan perdamaian bukanlah dengan cara yang damai, hasilnya iaitu perdamaian dalam erti kata yang sebenar tidak akan tercapai. Perdamaian boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif yang pertama melihat perdamaian dalam masyarakat apabila tidak berlakunya keganasan, penggunaan kekerasan, dan peperangan dalam masyarakat tersebut. Pertumpahan darah tidak berlaku, walaupun terdapat isu-isu yang mungkin ingin dibangkitkan oleh ahli masyarakat. Dan peperangan tidak berlaku, walaupun terdapat konflik dalam masyarakat tersebut. Keadaan ini lebih dikenali sebagai perdamaian negatif.
Negatif kerana situasi masyarakat ini sebenarnya adalah rapuh dengan banyak isu yang mungkin satu hari nanti menjadi tidak terkawal atau tidak dapat dikawal. Kawalan yang ketat berupa undang-undang dan peraturan serta sistem pemantauan dan implementasi yang terperinci dan keras, memastikan situasi terkawal dan luahan aspirasi yang berlebihan pada masa kini dapat dikawal dan dicegah. Bak gunung berapi yang masak, ianya akan pasti meletup satu hari kelak. Apabila ini berlaku, masyarakat akan huru-hara dan sistem ini akan melalui proses perubahan yang mungkin akan membawa pembaharuan, sama ada baik atau lebih buruk, kepada masyarakat tersebut.
Perdamaian yang positif pula membawa maksud bahawa wujud semua perkara yang disebut di atas tentang perdamaian negatif - iaitu masyarakat yang tiada keganasan, kekerasan, dan peperangan. Bezanya ialah dalam perdamaian positif, undang-undang dan peraturan yang ada dalam masyarakat bukanlah untuk menekan rakyat tetapi adalah berdasarkan keadilan dan bertujuan mewujudkan keadilan sosial, ekonomi, dan politik dalam masyarakat tersebut. Ianya tidak bertujuan menindas luahan aspirasi ataupun mengetepikan mana-mana kelompok masyarakat. Terdapat pula saluran-saluran dan mekanisme yang sah untuk memastikan luahan ini dapat disalurkan dan konflik yang ada, dan bakal timbul, dalam masyarakat dapat diurus dan diselesaikan dengan baik. Perdamaian yang positif juga tiada keganasan “struktural” - iaitu struktur masyarakat yang menindas sebahagian ahlinya sendiri; dan tidak mempunyai “budaya” keganasan - iaitu kebiasaan menggunakan kekerasan dan keganasan dalam menyelesaikan masalah. Apa yang ada adalah budaya perdamaian. Untuk menanam budaya perdamaian ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Salah satu daripada cara yang paling penting adalah melalui pendidikan. Di sini pentingnya kursus-kursus seperti hubungan etnik ini yang menekankan perdamaian sebagai cara hidup kita.
Kesimpulannya, dalam konteks Malaysia, perdamaian adalah sinonim dengan perpaduan dan perpaduan pula sinonim dengan hubungan etnik yang baik. Jika kita menyokong perdamaian, maka kita haruslah menyokong perpaduan dan usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti hubungan etnik di negara ini. Program-program yang diperkenalkan untuk meningkatkan usaha-usaha seperti ini, termasuk program seperti hubungan etnik di institusi pengajian tinggi, akan dapat memberi kesan yang positif jika ianya dilakukan dengan niat yang betul dan sokongan masyarakat yang komited kepada perpaduan dan perdamaian. Alternatifnya boleh kita perhatikan dalam masyarakat lain yang bergelumang dengan isu dan konflik etnik yang tidak terkawal dan merosakkan, dan seharusnya dicegah dari berkembang di bumi Malaysia.
- Profesor Madya Kamarulzaman Askandar ialah Unit Penyelidikan dan Pendidikan untuk Perdamaian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia


Latihan Graf


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini. Jawapan hendaklah dibuat pada kertas graf.                                                                                                                                 [15]

7.            Berdasarkan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan bilangan penagih dadah yang berjaya dikesan di negeri-negeri terpilih di Malaysia pada tahun 2004 dan 2005.

Pada tahun 2004, terdapat sejumlah 38 672 orang penagih yang dikesan di seluruh Malaysia. Nilai ini mencatat peningkatan sebanyak 23,8 peratus berbending tahun sebelumnya. Daripada jumlah ini, sejumlah 56.156 peratus berjaya dikesan di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Kedah. Keadaan ini menggambarkan bahawa masalah penagihan dadah terutama dalam kalangan remaja hari ini berada pada tahap yang membimbangkan.

            Pada tahun 2005, terdapat seramai 21 165 orang penagih yang dikesan di negeri-negeri berkenaan. Penagih yang paling ramai dikesan ialah di negeri Pulau Pinang iaitu seramai 6 403 orang atau 30.252 peratus. Walaupun Kuala Lumpur merupakan pusat bandar raya utama di Malaysia, namun jumlah penagihnya hanyalah 4 906 orang, iaitu kedua tertinggi selepas Pulau Pinang. Bilangan penagih dadah yang dikesan di negeri Kedah mencatat bilangan yang paling sedikit berbanding dengan negeri-negeri yang dinyatakan di atas iaitu seramai 2 606 orang, Jumlah ini menunjukkan pengurangan sejumlah 484 orang berbanding dengan tahun 2004.

            Pada tahun 2005 juga, bilangan penagih yang telah berjaya dikesan di negeri Johor adalah seramai 3 910 orang. Walaupun Perak lebih luas saiznya berbanding Johor, tetapi bilangan penagihnya adalah berkurangan sejumlah 570 penagih jika dibandingkan dengan penagih di Johor. Pengurangan bilangan penagih yang dikesan oleh pihak berkuasa di negeri ini menunjukkan satu kejayaan yang membanggakan dalam usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

            Pada tahun 2004, bilangan penagih yang dikesan di negeri Pulau Pinang masih lagi menunjukkan bilangan yang tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain pada tahun berkenaan. Walau bagaimanapun, bilangan tersebut telah berkurangan sejumlah 424 orang atau 6.66 peratus berbanding tahun 2005. Situasi yang berbeza ditunjukkan oleh negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Kedah. Kesemua negeri ini mencatatkan bilangan penagih yang lebih ramai pada tahun 2004 berbanding tahun 2005.

            Pihak berkuasa telah berjaya mengesan sejumlah 5 852 orang penagih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menunjukkan peningkatan sebanyak 946 orang atau 19.28 peratus pada tahun 2004. Peningkatan ini sering dikaitkan dengan kemasukan warga asing yang ramai terutamanya ke pusat hiburan di sekitar ibu negara. Negeri Johor yang merupakan pintu masuk utama dari Singapura memperlihatkan pertambahan jumlah penagih yang dikesan iaitu sebanyak 184 berbanding tahun 2005.

            Dalam usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja hari ini, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah yang telah menunjukkan terdapat sedikit keberkesanan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Tahun 2004/2005)


8.    Dengan menggunakan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan carta yang menunjukkan perbandingan keluasan kawasan ternakan akuakultur yang sedia ada bagi tahun 2004 dengan kawasan yang diperlukan bagi menjelang tahun 2010.

Sungguhpun sektor perindustrian berkembang  pesat sejak kebelakangan ini, namun sektor pertanian turut diberi perhatian yang sewajarnya. Sepanjang tempoh RMK-9, kerajaan  memperkenalkan konsep akuakultur ala FELDA yang  dimulakan secara besar-besaran meliputi ternakan ikan/ udang air tawar (kolam), ikan air tawar (sangkar), udang laut, kerang-kerangan serta rumpai laut serta beberapa ternakan yang dianggap sesuai.
            Secara keseluruhan, jumlah keluasan kawasan yang terlibat dengan ternakan di atas yang sedia ada dan telah beroperasi sehingga tahun 2004 adalah seluas 22 528 hektar. Kawasan yang telah diusahakan dengan ternakan ikan / udang air tawar (kolam) seluas 5 447 hektar yang meliputi setiap negeri. Hampir 76% atau 17 121 hektar daripadanya  diusahakan secara kecil-kecilan. Kedudukan yang bertaburan menyukarkan pihak kerajaan  menyediakan  bantuan kepada para penternak. Menjelang tahun 2010 nanti, adalah dijangka 6 500 hektar lagi diperlukan untuk diusahakan dengan ternakan tersebut sebagai menampung keperluan permintaan dalam negara. Tasik Kenyir, di Terengganu dipilih sebagai pusat ternakan yang melibatkan perbelanjaan melebihi RM 75.9 juta.
            Menjelang tahun 2010, secara keseluruhan kawasan ternakan yang diperlukan ialah seluas 36 905 hektar sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan import bahan makan dari luar. Daripada jumlah ini, sebanyak 5 042 hektar yang diperlukan untuk menyediakan kawasan ternakan ikan air tawar (sangkar). Projek ini memberi tumpuan utama  kepada ternakan ikan hiasan seperti ikan kelisa dan ikan emas. Pada tahun yang sama, seluas 4 163 hektar diperlukan bagi ternakan udang laut. Projek ini telah  dikenal-pasti di Sabak Bernam dan Pekan, Pahang. Hasil ternakan daripada projek ini dijangka akan menguasai 75% pasaran udang dalam negara dan selebihnya dieksport ke Negara-negara Asia.
            Permintaan kepada makanan berasaskan kerang-kerangan terus meningkat terutamanya kerang, dan siput sedut. Pada tahun 2004, kawasan yang telah sedia ada dengan ternakan ini ialah seluas 8 688 hektar  merupakan kawasan ternakan paling luas berbanding dengan ternakan lain. Namun begitu, ternakan berasaskan kerang-kerangan ini masih lagi memerlukan kawasan yang luas untuk memenuhi bekalan dalam pasaran. Menyedari hakikat ini, seluas 9 439 hektar masih diperlukan khusus untuk ternakan kerang-kerangan menjelang tahun 2010. Manakala bakinya adalah untuk lain-lain ternakan.
            Sehingga tahun 2004, sebanyak 3 689 hektar kawasan telah didaftar sebagai kawasan menternak ikan air tawar (sangkar). Projek ini banyak diusahakan oleh penternak yang tinggal berhampran dengan sungai. Projek ternakan ikan dalam sangkar yang terbesar diusahakan  penternak di sepanjang Sungai Pahang. Manakala  kawasan yang telah diusahakan dengan ternakan udang laut seluas 2 425 hektar di sekitar perairan Pulau Langkawi sepanjang tempoh yang sama.
            Projek ternakan rumpai laut  diusahakan oleh nelayan secara kecil-kecilan di sekitar perairan Sabah dan Sarawak. Menjelang tahun 2010 keluasan yang diperlukan ialah 9 543 hektar untuk ternakan ini berbanding dengan keluasan yang sedia ada sebanyak 1 676 hektar pada tahun 2004. Keluasan  selebihnya ialah untuk lain-lain ternakan.

                                    (Dipetik dan disesuaikan daripada Utusan Malaysia, Jun 2006)











Kepentaigan Teknologi Hijau---


TEKNOLOGI HIJAU
Definisi
Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
?          Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
?          Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
?          Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.
Empat Tunggak Dasar Teknologi Hijau Negara
• Tenaga - Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
• Alam sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
• Sosial - Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Objektif
• Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persana antarabangsa;
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau. 
Sektor Utama
Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:

i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan 
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.

ii) Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan    pemusnahan bangunan

iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa
• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah; dan

iv) Sektor Pengangkutan 
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan   kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam. 
Matlamat

i. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10)
• Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan Teknologi Hijau;
• Ketersediaan dan pengiktirafan meluas Teknologi Hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan;
• Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Teknologi Hijau; dan
• Institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai. 
 ii. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia ke-11)
• Teknologi Hijau menjadi pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan; 
• Teknologi Hijau mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain, dan menyumbang kepada penerimaan Teknologi Hijau dalam pasaran serantau; 
• Peningkatan pengeluaran produk Teknologi Hijau tempatan; 
• Peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional; 
• Peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam Teknologi Hijau ke pasaran global; dan 
• Peningkatan aplikasi Teknologi Hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.

iii. Matlamat Jangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Tempoh Seterusnya)
• Penerapan Teknologi Hijau dalam budaya Malaysia; 
• Penggunaan meluas Teknologi Hijau mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara; 
• Mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara; 
• Membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran; 
• Malaysia menjadi pengeluar utama Teknologi Hijau dalam pasaran global; dan 
• Peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri Teknologi Hijau.
Risiko nanoteknologi boleh diluaskan kepada tiga bahagian:
• risiko kepada kesihatan dan persekitaran yang berpunca daripada zarah dan jirim nano 
• risiko yang disebabkan oleh pengilangan atau penghasilan molekul (atau teknologi nano lain) 
• risiko yang datangnya daripada masyarakat sendiri. 
Teras Strategik
i)   Teras Strategik 1 
Mengukuhkan kerangka institusi$

Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan Teknologi Hijau, penyusunan institusi yang kukuh adalah kritikal untuk mempromosikan aplikasi Teknologi Hijau melalui:
·         Penubuhan Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaraskan peringkat tinggi antara Kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk melaksanakan Teknologi Hijau yang efektif;
·         Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri;
·         Penubuhan Agensi Teknologi Hijau Malaysia untuk menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program Teknologi Hijau yang efektif;
·         Pengenalan dan penguatkuasaan mekanisme perundangan untuk mempercepat pembangunan Teknologi Hijau, selaras dengan objektif dan matlamatnya; dan
·         Peyelarasan fungsi setiap institusi supaya semua agensi mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing.

 ii) Teras Strategik 2

Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif

Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, adalah kritikal bagi memenuhi objektif Dasar Teknologi Hijau. Industri ini menyediakan Teknologi Hijau bagi pasaran setempat dan global, menyediakan peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi Negara. Ini boleh dicapai melalui:
·         Pengenalan dan pelaksanaan instrumen ekonomi yang inovatif dengan disokong oleh langkah-langkah kewangan dan fiskal bagi menbantu peningkatan pertumbuhan Teknologi Hijau selaras dengan objektif dan matlamatnya;
·         Memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri;
·         Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan;
·         Menubuhkan hab Teknologi Hijau yeng straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama; dan
·         Menubuhkan mekanisme pembiayaan untuk Teknologi Hijau.

 iii) Teras Strategik 3

Memperkukuh Pembangunan

Modal Insan dalam Teknologi Hijau

Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Ini boleh dicapai melalui;

Reka bentuk dan pengukuhan program latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia yang berkaitan dengan Teknologi Hijau;
·         Bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah;
·         Program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau;
·         Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau; dan
·         Pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau.
iv) Teras Strategik 4 
Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau 
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui:
·         Dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC;
·         Keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan;
·         Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan   atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau;
·         Perkongsian pintar antara kerajaan, industri, dan pusat penyelidikan;dan,
·         Penubuhan rangkaian yang kukuh dengan institusi penyelidikan tempatan dan serantau dan pusat kecemerlangan antarabangsa dalam RDI Teknologi Hijau.

v) Teras Strategik 5

Promosi dan Kesedaran Awam

Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah:
·         Promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau;
·         Penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan Teknologi Hijau;
·         Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif;
·         Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau; dan
·         Menerima pakai Teknologi Hijau dalam semua kemudahan kerajaan dan entiti yang berhubung dengan kerajaan
·          

Lima langkah strategik jayakan Dasar Teknologi Hijau Negara

BANGI: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.
Perdana Menteri berkata, langkah pertama adalah mengukuhkan rangka kerja institusi terutama di kalangan Menteri manakala langkah kedua mensasarkan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi Pembangunan Teknologi Hijau.
Katanya, langkah ketiga pula akan menggiatkan lagi pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan.
"Langkah keempat adalah akan menggalakkan penyelidikan dan inovasi Tekologi Hijau menerusi pengkomersialan.
"Langkah terakhir adalah memantapkan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Teknologi Hijau," katanya berucap melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini, hari ini.
Sumber: Berita Harian
Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?
Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.
2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?
Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.
Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.
Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?
Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan,  kenaikan paras dan suhu air laut,  kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.
Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.
Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4.  Boleh Y.Bhg Dato’  berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?
Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat  sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport. 
 
Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.
Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.
Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda  akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan. 
 

5.  Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi hijau?
Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable Energy (RE) dan syarikat-syarikat mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer Status).
Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk tempoh setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik daripada sumber RE dan dan aktiviti EE. Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian boleh diberikan bagi:

i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi kepada pengimport termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap tenaga (high efficiency motors) dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh ST seperti bahan penebat, peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic, lampu dan penyaman udara.
6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh program yang dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat?
Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia. Program-program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM, Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan dan sebagainya.  Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.
Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan secara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan orang awam dan sektor swasta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan ceramah-ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di Rumah, menerbitkan siri artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.
Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan melibatkan stake-holders yang berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi Hijau dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.