Perpaduan
dan perdamaian etnik
Oleh: PROF. MADYA KAMARULZAMAN ASKANDAR
Negara yang dianggap paling maju sekalipun, harus
berusaha melakukan penyelidikan dan inovasi untuk terus menjadi lebih maju.
Begitu juga negara yang dianggap paling aman juga harus terus berusaha
mengekalkan keamanan. Malaysia bukanlah negara yang paling maju mahupun yang
paling aman. Kita mempunyai wawasan yang tertentu untuk menjadi negara maju dan
banyak tanda menunjukkan bahawa kita akan dapat mencapai sasaran kita tepat
pada waktu yang ditetapkan. Kita juga terus berusaha dan cuba mencari jalan
bukan saja untuk mengekalkan keamanan yang sedia ada, tetapi mencari
penyelesaian kepada isu-isu yang boleh memantapkan keamanan dalam masyarakat Malaysia.
Salah satu isu fokus yang sering memberikan cabaran kepada kita ialah isu
hubungan etnik.
Hubungan etnik adalah antara isu yang paling penting
dalam sejarah pembentukan negara-bangsa Malaysia. Dalam sebuah negara
multi-etnik, dengan sistem politik yang berpaksikan etnik, dengan banyak parti
politik yang ditubuhkan untuk mewakili kepentingan kumpulan etnik mereka yang
tersendiri, etnisiti sering dipolitikkan untuk mendapat undi, kuasa, dan
kekuasaan. Etnisiti dalam konteks ini bukan sahaja merupakan simbol yang
mencerminkan, menggambarkan, atau mewakili sesuatu kumpulan, tetapi ianya juga
boleh dan sering digunakan sebagai alat mendapatkan sesuatu kepentingan.
Etnisiti, kalau dilihat secara kasar, mempunyai kedua-dua konotasi positif dan
negatif, tergantung kepada bagaimana ianya diterima dan digunakan. Manusia,
sebagai individu, maupun sebagai sebahagian dari kelompok yang lebih besar, t idak boleh lari dari isu-isu, simbol,
dan label etnisiti. Kita juga tidak tidak boleh lari dari terlibat dengan aksi
tolak-tarik dan perdebatan positif-negatif etnisiti.
Yang penting ialah kita mengakui dan menerima bahawa
wujudnya senario ini dan berusaha supaya cara penyelesaian yang terbaik dapat
ditimbulkan. Perkara-perkara dan nilai-nilai yang boleh dianggap sebagai
positif haruslah ditonjol dan difokuskan. Perkara yang negatif dikurangkan,
sementara usaha-usaha yang berterusan dijalankan untuk mencari penyelesaian
yang sesuai kepada masalah tersebut. Tidak dilupakan atau diketepikan, tetapi
dikurangkan untuk sementara waktu, dan dihadapi bila senario berubah menjadi
lebih baik dan masyarakat lebih bersedia untuk menghadapinya.
Isu hubungan etnik dan
masalah yang timbul dari hubungan ini bukanlah perkara yang baru dalam
konteks Malaysia. Masalah tinggalan era penjajah ini kerap timbul dari masa ke
semasa walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengurus dan menyelesaikannya.
Dalam beberapa tahun ini sahaja, kita berhadapan dengan insiden-insiden yang
mencabar keutuhan hubungan etnik di negara ini dan memberi tanda tanya tentang
keberkesanan program-program yang telah diperkenalkan untuk mewujudkan
perdamaian dan perhubungan etnik yang positif. Antara insiden besar termasuk
kes-kes Kampung Rawa pada tahun 1998 dan Kampung Medan pada tahun 2001. Di
samping itu, data-data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perpaduan mengenai insiden
konflik sosial dari tahun 1998 hingga 2004 menunjukkan bahawa walaupun insiden
konflik kerana isu etnik atau perkauman adalah sedikit (cuma 1 peratus dari
semua jenis isu konflik), insiden-insiden lain yang melibatkan isu-isu seperti
sosial, agama, keselamatan, politik, dan ekonomi, banyak melibatkan aktor atau
pelaku dari kumpulan etnik yang berbeza.
Ini boleh dibaca dengan dua cara. Satu, kita tidak
perlu bimbang dengan isu etnik kerana ianya bukan isu utama yang menimbulkan
konflik di negara ini. Kedua, kita harus meneruskan usaha memperbaiki hubungan
etnik kerana majoriti insiden konflik sosial yang berlaku melibatkan pihak atau
aktor dari kumpulan etnik yang berbeza. Bahayanya jika insiden-insiden ini
tidak ditangani dengan baik, mereka mungkin akan meningkat menjadi konflik
etnik. Bahayanya juga jika hubungan etnik ahli masyarakat Malaysia tidak baik,
trend ini akan berterusan dan kesemua insiden yang berlaku akan ditafsirkan
oleh pihak-pihak tertentu sebagai konflik etnik, kerana aktor-aktornya adalah
daripada kumpulan etnik yang berbeza. Selain insiden-insiden konflik sosial
yang tercatat ini, indikator lain perhubungan etnik adalah tanggapan masyarakat
sendiri terhadap status dan tahap perhubungan antara etnik yang dibuat secara
pemerhatian kasar dan analisa oleh ahli masyarakat.
Saban hari kita sering
mendengar keluhan-keluhan tentang status dan tahap hubungan etnik. Ini
selalunya dilakukan oleh beberapa kelompok. Pertama, golongan yang pernah
melalui era perpaduan dalam masyarakat. Yang membesar, bermain, belajar, dan
berkongsi sejarah dalam masyarakat majmuk dengan kepelbagaian etnik, budaya,
dan agama. Golongan ini sering membuat perbandingan antara masyarakat sekarang
dengan masyarakat dulu, dan melihat masyarakat sekarang sebagai sudah hilang
perpaduan, dan hubungan etnik sekarang tidak lagi semurni dulu kerana telah
dikotori oleh politik ahli politik dan kepentingan politik.
Kedua, golongan yang
melihat hubungan etnik sebagai sesuatu yang tidak relevan. Yang melihat
kepentingan sendiri, sama ada individu ataupun kelompok, ekonomi atau politik,
sekarang atau masa depan, sebagai sesuatu yang lebih penting. Usaha mencapai
perpaduan yang dijalankan dilihat sebagai boleh melemahkan (secara sengaja atau
tidak) kepentingan dan kedudukan mereka yang selalunya sangat fokus, kepada
etnisiti, bahasa, budaya, ekonomi, serta politik. Keluhan-keluhan ini harus
ditanggapi sebagai cabaran pembangunan negara.
Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh hubungan
etnik bukannya mudah. Pelbagai usaha dijalankan termasuk penubuhan Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada awal tahun tujuhpuluhan yang
memperkenalkan program-program memupuk perpaduan dalam masyarakat. Antara
program-program yang telah diperkenalkan oleh negara untuk menangani masalah
ini termasuklah Rukun Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional;
penubuhan Sekolah Wawasan; Program Latihan Khidmat Negara di samping banyak
lagi program yang memfokuskan kepada kelompok belia ini; program
"Kongsi-Raya" dan lain-lain yang berusaha mempromosi perpaduan dan
kefahaman tentang budaya yang berbeza melalui cara meraikan hari kebesaran
semua kelompok secara bersama.
Di peringkat pengajian tinggi pula, fokus diberikan
kepada pembelajaran dan pemahaman budaya yang berbeza dengan harapan akan
timbul apresiasi di kalangan mahasiswa terhadap budaya-budaya tersebut.
Pengenalan kursus-kursus ini selalunya bersesuaian dan bertindan dengan
cabaran-cabaran terkini yang dihadapi oleh negara. Contohnya, bila Islam sedang
dilihat oleh sebahagian kelompok sebagai agama yang sering dikaitkan dengan
keganasan dan penggunaan kekerasan, kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia
Tenggara diperkenalkan. Ini diteruskan di peringkat nasional dengan
memperkenalkan konsep Islam Hadhari supaya Islam dapat dikaitkan kembali dengan
fokusnya yang sebenar iaitu pembangunan insan, pembangunan masyarakat, dan
perdamaian.
Pengenalan kursus
hubungan etnik di institusi pengajian tinggi negara yang begitu hangat
diperdebatkan pada masa ini pula adalah sebagai salah satu usaha untuk
menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam proses
pembangunan negara. Ianya tidak bersifat reaktif, kerana ini bukanlah masalah
yang baru, tetapi lebih kepada meneruskan kesinambungan dalam usaha kita
mencari jalan penyelesaian kepada isu ini. Huraian di atas yang berdasarkan
kajian dan sejarah menunjukkan bahawa ianya adalah sesuatu yang sangat perlu.
Fokusnya kepada golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi adalah sesuai,
dan usaha-usaha Kementerian Pengajian Tinggi haruslah disokong dan dibantu.
Pengenalan kursus seumpama ini adalah yang terbaik kepada golongan ini kerana
di samping didedahkan kepada konsep-konsep hubungan etnik, mereka juga diberi
peluang untuk melakukan aktiviti secara bersama yang bukan sahaja dapat
menambah ilmu tentang isu yang difokuskan, tetapi lebih penting lagi dapat
menggalakkan interaksi antara mereka. Contohnya, di Universiti Sains Malaysia
(USM), di samping mengikuti kuliah tentang hubungan etnik di negara ini,
mahasiswa juga diletakkan di dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk menjalankan
praktikum atau kerja luar dengan menfokuskan kepada isu-isu berkenaan
masyarakat Malaysia sebagai bahan kajian. Isu-isu ini merujuk kepada
kepelbagaian etknik di Malaysia dengan harapan akan timbul dan berkembang
apresiasi mahasiswa terhadap kekayaan budaya, adat resam, dan cara hidup yang
berbeza di negara ini. Tajuk-tajuk yang dipilih oleh mahasiswa sebagai tajuk
praktikum ini pada semester yang lalu termasuk kajian terhadap alat muzik,
tarian, atau pakaian tradisional; kepercayaan-kepercayaan dan hari-hari
perayaan yang utama; tokoh dan karyawan dalam sejarah pembentukan dan
pembangunan negara; serta amalan-amalan seharian termasuk apa yang dimakan,
dijadikan sebagai permainan, dan lain-lain lagi. Penekanan diberikan khususnya
kepada mempelajari dan memahami apa yang menjadi amalan kumpulan etnik yang
lain. Interaksi dalam kumpulan yang berbilang kaum serta interaksi dengan
responden untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tajuk yang dipilih dapat
memberi ruang dan peluang mengeratkan lagi hubungan etnik antara mahasiswa di
institusi pengajian tinggi, serta antara mereka dengan ahli masyarakat.
Ini semua dilakukan dalam keadaan kita sedar bahawa
usaha perpaduan dan memantapkan hubungan etnik bukanlah sesuatu yang hanya
boleh diajarkan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda. Ianya
adalah sesuatu yang seharusnya dirasai, dinikmati, dan dilalui bersama. Ia
seharusnya dimulakan pada peringkat yang paling awal kerana pada waktu itulah
kanak-kanak mempelajari pelajaran-pelajaran yang paling berguna dalam hidup
mereka dan yang akan menjadi pegangan hidup mereka nanti. Pada waktu itu juga
mereka secara umumnya belum diwarnai dengan warna-warna kehidupan dengan
efeknya yang pelbagai, positif maupun yang negatif. Kita juga tahu bahawa
pengaruh kepada mereka yang paling utama pada ketika itu ialah ibu bapa, ahli
keluarga, dan guru. Inilah golongan-golongan yang seharusnya menjadi sasaran
kita kerana di sinilah semuanya bermula.
Kembali kepada hubungan
etnik di IPT, pendekatannya boleh dimantapkan lagi. Memantapkan program ini
memerlukan kita melihat isu hubungan etnik di negara ini dari kaca mata
perpaduan dan perdamaian. Memantapkannya juga memerlukan kita memberi ruang
yang lebih luas kepada golongan akademik, terutama pensyarah dan mahasiswa,
untuk berbincang secara jujur dan ikhlas tentang isu-isu yang mungkin dianggap
sensitif. Tafsiran, asumsi, dan andaian mereka mungkin berbeza-beza bila
membincangkan konsep-konsep hubungan etnik. Begitu juga dengan pendapat mereka
tentang sejarah pembentukan negara dan pelajaran masa silam, tetapi
kepelbagaian pendapat seperti ini tidak dapat dielakkan dalam negara yang
mempunyai kepelbagaian budaya dan yang kaya dengan kepelbagaian ini.
Kepelbagaian pendapat ini harus dipertahankan jika kita ingin menjadi negara
yang matang. Jika golongan akademik mentafsirkan konsep dan sejarah sedemikian
rupa, peranan masyarakat bukanlah untuk menyekat tafsiran ini, tetapi
membincangkannya, dan memberikan ruang untuk ianya dibincangkan. Perbincangan
ini juga seharusnya berlaku dalam senario yang tidak melibatkan golongan
politik dengan kepentingan politik yang kadang-kadang agak sempit.
Memantapkannya juga
memerlukan kita kembali menekankan perhubungan antara hubungan etnik dengan
perpaduan dan dengan perdamaian. Hubungan etnik adalah sinonim dengan
perpaduan. Perpaduan adalah kedua-dua matlamat akhir dan juga proses yang dapat
membantu kita mencapai objektif bersatu-padu. Perpaduan sebagai matlamat akhir
adalah satu keadaan di mana masyarakat yang berbilang etnik dapat hidup dalam
satu masyarakat sebagai sebuah komuniti masyarakat Malaysia. Perbezaan, yang
jelas dan tidak jelas, masih tetap wujud dalam komuniti ini kerana setiap
kumpulan membawa keistimewaan mereka yang tersendiri, dengan ciri-ciri agama,
bahasa ibunda, makanan, pakaian, budaya, dan adat resam yang telah dipengaruhi
oleh sejarah perkembangan kumpulan mereka. Perbezaan-perbezaan ini,
walaubagaimanapun tidak mengganggu (atau tidak seharusnya mengganggu) proses
perpaduan dan pembentukan komuniti ini. Sejarah telah membawa terwujudnya
komuniti ini dan kepada terbentuknya sejarah yang dikongsi bersama, sejak zaman
sebelum merdeka sehinggalah sekarang ini.
Perpaduan sebagai satu proses juga mengajak kita
menggunakan kaedah dan pendekatan yang inklusif (inclusive) dan bukannya eksklusif
(exclusive). Matlamat negara haruslah dicapai dengan melibatkan semua kelompok
masyarakat dan bukan hanya segelintir ahlinya sahaja. Proses ini memerlukan
penglibatan semua golongan dan lapisan, bergerak bersama untuk mencapai
matlamat yang dikongsi bersama.
Perpaduan seterusnya
adalah sinonim dengan perdamaian, yang juga merupakan matlamat akhir yang
diimpikan, di samping proses yang boleh membawa kita ke matlamat tersebut. Jika
cara yang digunakan dalam proses untuk mendapatkan perdamaian bukanlah dengan
cara yang damai, hasilnya iaitu perdamaian dalam erti kata yang sebenar tidak
akan tercapai. Perdamaian boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza.
Perspektif yang pertama melihat perdamaian dalam masyarakat apabila tidak
berlakunya keganasan, penggunaan kekerasan, dan peperangan dalam masyarakat
tersebut. Pertumpahan darah tidak berlaku, walaupun terdapat isu-isu yang
mungkin ingin dibangkitkan oleh ahli masyarakat. Dan peperangan tidak berlaku,
walaupun terdapat konflik dalam masyarakat tersebut. Keadaan ini lebih dikenali
sebagai perdamaian negatif.
Negatif kerana situasi
masyarakat ini sebenarnya adalah rapuh dengan banyak isu yang mungkin satu hari
nanti menjadi tidak terkawal atau tidak dapat dikawal. Kawalan yang ketat
berupa undang-undang dan peraturan serta sistem pemantauan dan implementasi
yang terperinci dan keras, memastikan situasi terkawal dan luahan aspirasi yang
berlebihan pada masa kini dapat dikawal dan dicegah. Bak gunung berapi yang
masak, ianya akan pasti meletup satu hari kelak. Apabila ini berlaku,
masyarakat akan huru-hara dan sistem ini akan melalui proses perubahan yang
mungkin akan membawa pembaharuan, sama ada baik atau lebih buruk, kepada
masyarakat tersebut.
Perdamaian yang positif
pula membawa maksud bahawa wujud semua perkara yang disebut di atas tentang
perdamaian negatif - iaitu masyarakat yang tiada keganasan, kekerasan, dan
peperangan. Bezanya ialah dalam perdamaian positif, undang-undang dan peraturan
yang ada dalam masyarakat bukanlah untuk menekan rakyat tetapi adalah
berdasarkan keadilan dan bertujuan mewujudkan keadilan sosial, ekonomi, dan
politik dalam masyarakat tersebut. Ianya tidak bertujuan menindas luahan
aspirasi ataupun mengetepikan mana-mana kelompok masyarakat. Terdapat pula
saluran-saluran dan mekanisme yang sah untuk memastikan luahan ini dapat
disalurkan dan konflik yang ada, dan bakal timbul, dalam masyarakat dapat
diurus dan diselesaikan dengan baik. Perdamaian yang positif juga tiada
keganasan struktural - iaitu struktur masyarakat yang menindas
sebahagian ahlinya sendiri; dan tidak mempunyai budaya keganasan - iaitu
kebiasaan menggunakan kekerasan dan keganasan dalam menyelesaikan masalah. Apa
yang ada adalah budaya perdamaian. Untuk menanam budaya perdamaian ini boleh
dilakukan dengan pelbagai cara. Salah satu daripada cara yang paling penting
adalah melalui pendidikan. Di sini pentingnya kursus-kursus seperti hubungan
etnik ini yang menekankan perdamaian sebagai cara hidup kita.
Kesimpulannya, dalam
konteks Malaysia, perdamaian adalah sinonim dengan perpaduan dan perpaduan pula
sinonim dengan hubungan etnik yang baik. Jika kita menyokong perdamaian, maka
kita haruslah menyokong perpaduan dan usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti
hubungan etnik di negara ini. Program-program yang diperkenalkan untuk
meningkatkan usaha-usaha seperti ini, termasuk program seperti hubungan etnik
di institusi pengajian tinggi, akan dapat memberi kesan yang positif jika ianya
dilakukan dengan niat yang betul dan sokongan masyarakat yang komited kepada
perpaduan dan perdamaian. Alternatifnya boleh kita perhatikan dalam masyarakat
lain yang bergelumang dengan isu dan konflik etnik yang tidak terkawal dan
merosakkan, dan seharusnya dicegah dari berkembang di bumi Malaysia.
- Profesor Madya Kamarulzaman Askandar ialah Unit
Penyelidikan dan Pendidikan untuk Perdamaian Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
No comments:
Post a Comment