Latarbelakang
Di dalam dekad 50-an dan 60-an, program perindustrian di negara ini dijalankan sebagai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara yang pada masa itu amat bergantung kepada getah dan bijih timah. Memandangkan harga kedua-dua komoditi ini tidak stabil, kerajaan telah melancarkan program perindustrian untuk mencetuskan perkembangan ekonomi yang lebih pesat dan stabil. Dasar pembangunan perindustrian pada masa itu adalah tertumpu kepada industri-industri yang bercorak gantian import.
Sejak tahun 70-an, kerajaan di samping mempelbagaikan ekonomi telah menitikberatkan pertumbuhan industri yang lebih pesat untuk menampung keperluan pekerjaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam hal ini, tumpuan telah diberikan kepada industri-industri yang berasaskan eksport dan industri yang mengunakan ramai buruh.
Mulai tahun 80-an pula, program perindustrian negara mengalami satu lagi perkembangan meneeusi penggalakan industri berat. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara dan menambahkan kemahiran rakyat di bidang teknologi yang lebih tinggi. Ia juga bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses perindustrian. Kerajaan memainkan peranan secara langsung di dalam merancang, melaksana, membiayai dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor swasta tidak mampu menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang.
Walaupun pada keseluruhannya perkembangan industri negara dalam tahun-tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an adalah memuaskan tetapi banyak masalah dan kelemahan masih wujud di dalam sektor ini. Misalnya, pertumbuhan sektor eksport adalah tidak begitu memuaskan jika dibandingkan dengan sektor dalam negeri. Eksport barang-barang pembuatan Malaysia terlalu bergantung kepada segelintir industri sahaja seperti elektrik dan elektronik dan tekstil. Mutu keluaran juga pada keseluruhannya tidak begitu memuaskan dan tidak dapat bersaing dengan keluaran negara-negara asing. Ini disebabkan tahap teknologi yang masih rendah dan kurangnya kemahiran rakyat tempatan untuk mempertingkatkan atau memperbaharui teknologi yang diterima dari luar. Satu masalah besar ialah kurangnya hubungkait di antara sektor perindustrian dengan sektor-sekctor lain menyebabkan tidak wujudnya integrasi ke hadapan dan ke belakang (back-ward and forward integration.) Industri-industri yang ditubuhkan juga kurang mempunyai nilai ditambah (value added) kerana banyak menumpukan kepada aktiviti pemasangan sahaja. Oleh itu, sekiranya sektor perindustrian dikehendaki terus memainkan peranan utama dalam pembangunan negara, perlulah diwujudkan matlamat-matlamat jangka panjang yang disokong dengan dasar dan strategi pembangunan yang baru.
Selaras dengan hasrat untuk mengenalpasti kelemahan ciri-ciri struktur serta mengatasinya, kerajaan telah melancarkan dua kajian utama pada tahun 1983, iaitu Kajian Dasar Perindustrian Malaysia (KDPM) dan Pelan Induk Perindustrian (PIP). KDPM benujuan untuk menyemak dan mengubahsuai dasar-dasar perindustrian negara yang sedia ada dan mengkaji semula galakan-galakan pelaburan dan dasar-dasar peningkatan eksport. PIP pula bertujuan untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian secara am dalam mengenalpasti strategi-strategi untuk sektor-sektor kecil yang berpotensi untuk tumbuh dengan pesat. Dasar utama perindustrian telah mengambil kira beberapa prinsip asas yang terkandung di dalam perakuan-perakuan kedua-dua kajian ini.
Rasional
Penggubalan dasar perindustrian negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1985-1986 telah menunjukkan kelemahan dalam struktur industri negara. Pengalaman dalam dekad 80-an di mana semua harga komoditi utama telah jatuh secara serentak mendorong kerajaan memikirkan strategi-strategi ekonomi jangka panjang untuk mengenalpasti dan mengatasi kelemahan-kelemahan struktur sektor pembuatan ini. Seandainya masalah-masalah ini dapat diatasi, kerajaan yakin sektor ini boleh memainkan peranan yang lebih dinamik lagi melalui sumbangan-sumbangan yang lebih besar dari segi menambah eksport, mengadakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan serta memperbanyakkan peluang-peluang latihan teknikal dan kemahiran.
Pada jangka panjangnya, PIP diharapkan dapat meletakkan asas yang kukuh bagi negara ini menjadi sebuah negara perindustrian yang maju. Jelas di negara-negara perindustrian yang ada sekarang, sektor perkilangan (selain daripada sektor perkhidmatan) merupakan sektor yang terpenting dalam menggerakkan jentera pembangunan negara. Banyak negara maju dan negara perindustrian dahulunya merupakan negara-negara pertanian yang mundur, tetapi oleh kerana mereka memasuki bidang perindustrian dengan bersungguh-sungguh, hari ini mereka telah maju.
Walaupun bidang pertanian di Malaysia merupakan satu kegiatan ekonomi yang penting namun demikian pertanian tidak mungkin dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi puluhan ribu lulusan sekolah dan institusi pengajian tinggi setiap tahun.
No comments:
Post a Comment