Wednesday, April 30, 2014

Praktis Menjelang Peperiksaan Pelajar Pra U SMK Seri Pagi



Praktis 1  - 01.05.2014

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan kumpulan ahli ikhtisas berdaftar di Malaysia mengikut kaum bagi tahun-tahun yang diliputi.
Usaha untuk menambahkan bilangan ikhtisas berdaftar mengikut kaum di Malaysia, yang terdiri daripada peguam, akauntan, guru, doktor perubatan, arkitek dan sebagainya, adalah sejajar dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional.  Usaha ini juga merupakan langkah kerajaan untuk mencapai matlamat penyusunan semula masyarakat di Malaysia.
Setelah DEB dan Dasar Pembangunan Nasional diperkenalkan, terdapat sejumlah 24 550 orang ahli ikhtisas Melayu dan Bumiputera berdaftar berbanding dengan sejumlah 35 265 orang ahli ikhtisas Cina, 7964 orang ikhtisas India dan 802 orang ahli ikhtisas kaum lain pada tahun 1995.
Strategi mengubah dan memperbaiki tahap pendidikan penuntut Melayu di bawah DEB dan Dasar Pembangunan Nasional telah membolehkan semakin ramai orang Melayu dan Bumiputera digelar golongan profesional berdaftar. Peratusannya pada tahun 2000 telah meningkat kepada 38.49% daripada keseluruhan 82 085 orang ahli ikhtisas berdaftar.
Pertambahan ahli ikhtisas dalam kalangan orang Cina ialah 4855 orang berbanding dengan 35 265 orang ahli ikhtisas Cina berdaftar pada tahun 1995. Sementara itu, dalam kalangan orang India, peratusnya tidak berubah pada tahun 1995 dan 2000, iaitu pada kadar 11.6% sungguhpun bilangan ahli ikhtisas India meningkat kepada 9540 orang pada tahun 2000.  Dalam kalangan kaum lain pula, bilangan telah bertambah menjadi 830 orang ahli ikhtisas berdaftar.
Pertambahan bilangan keseluruhan ahli profesional di Malaysia pada tahun 2005 ialah 10.66% dan melahirkan sejumlah 90 834 orang ahli ikhtisas. Pada tahun 2005, terdapat peningkatan seramai 2155 orang ahli professional Melayu dan Bumiputera berbanding tahun 2000. Ahli ikhtisas Cina pula bertambah menjadi 45 624 orang dan ahli ikhtisas India ialah 10 340 orang, manakala selebihnya terdiri daripada ahli ikhtisas kaum lain.
Jumlah ahli profesional berdaftar pada tahun 2010 dianggarkan seramai 97 038 orang daripada jumlah ini, 36 728 orang atau 37.85% terdiri daripada ahli profesional Melayu dan Bumiputera, manakala 47 135 orang merupakan ahli professional Cina. Sementara itu, 11 945 orang atau 12.31% terdiri daripada ahli ikhtisas India, dan ahli ikhtisas daripada kaum lain ialah 1230 orang.


(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga,2001-2010)


Praktis 2

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf bar yang sesuai untuk menunjukkan kedudukan guna tenaga buruh mengikut sektor di Malaysia antara tahun 2004 hingga tahun 2006.
Bilangan guna tenaga buruh sesebuah negara bergantung pada perkembangan ekonomi negara berkenaan. Pada tahun 2004, jumlah tenaga buruh di Malaysia ialah 10 905.6 ribu orang.
Pada tahun 2004, 5352.2 ribu orang bekerja dalam sektor perkhidmatan. Dalam sektor pembuatan, bilangan guna tenaga buruh yang terlibat ialah 2813.1 ribu orang. Dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula, bilangan guna tenaga buruh ialah 1512.9 ribu orang.  Sementara itu, bilangan guna tenaga buruh dalam sektor pembinaan ialah 765.6 ribu orang atau 7.02% daripada jumlah keseluruhan guna tenaga buruh pada tahun 2004.  Bilangan guna tenaga buruh dalam sektor perlombongan dan kuari adalah paling rendah dengan 461.8 ribu orang.
Jumlah guna tenaga buruh pada tahun 2005 menunjukkan peningkatan sebanyak 1428.6 ribu orang atau 13.10% berbanding dengan tahun 2004.  Bilangan guna tenaga buruh dalam sektor perkhidmatan masih mendahului sektor lain dengan 6744.5 ribu orang.  Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mengalami penurunan sebanyak 69.2 ribu orang berbanding dengan tahun 2004, manakala sektor pembuatan mengalami peningkatan sebanyak 58.5 ribu orang. Selain itu, sektor pembinaan mengalami peningkatan sebanyak 46.4 ribu orang berbanding dengan tahun 2004, manakala sektor perlombongan dan kuari mengalami sedikit pertambahan sebanyak 0.6 ribu orang guna tenaga buruh.
Jumlah tenaga buruh di Malaysia terus meningkat pada tahun 2006 berikutan kewujudan peluang pekerjaan baru dalam pelbagai sektor kecuali sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.  Jumlah guna tenaga buruh dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merosot sebanyak 41 ribu orang atau 2.48% berbanding dengan tahun 2005. Sektor perkhidmatan masih mendahului sektor lain dengan sumbangan guna tenaga buruh yang paling tinggi, iaitu sebanyak 55.5% atau 7016.8 ribu orang. Guna tenaga buruh dalam sektor pembuatan bertambah sebanyak 1.14% kepada 2904.2 ribu orang. Sektor pembinaan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 45.1 ribu orang pada tahun 2006 berbanding dengan tahun 2005. Ekoran tiada lombong baru dibuka dan kemerosotan pengeluaran bijih timah, bilangan guna tenaga buruh dalam sektor ini mengalami sedikit penurunan, iaitu sebanyak 1.9 ribu orang.
(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Ekonomi 2005/2006, Kementerian Kewangan Malaysia







No comments:

Post a Comment