Monday, April 28, 2014

Latihan Graf


Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini. Jawapan hendaklah dibuat pada kertas graf.                                                                                                                                 [15]

7.            Berdasarkan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan bilangan penagih dadah yang berjaya dikesan di negeri-negeri terpilih di Malaysia pada tahun 2004 dan 2005.

Pada tahun 2004, terdapat sejumlah 38 672 orang penagih yang dikesan di seluruh Malaysia. Nilai ini mencatat peningkatan sebanyak 23,8 peratus berbending tahun sebelumnya. Daripada jumlah ini, sejumlah 56.156 peratus berjaya dikesan di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Kedah. Keadaan ini menggambarkan bahawa masalah penagihan dadah terutama dalam kalangan remaja hari ini berada pada tahap yang membimbangkan.

            Pada tahun 2005, terdapat seramai 21 165 orang penagih yang dikesan di negeri-negeri berkenaan. Penagih yang paling ramai dikesan ialah di negeri Pulau Pinang iaitu seramai 6 403 orang atau 30.252 peratus. Walaupun Kuala Lumpur merupakan pusat bandar raya utama di Malaysia, namun jumlah penagihnya hanyalah 4 906 orang, iaitu kedua tertinggi selepas Pulau Pinang. Bilangan penagih dadah yang dikesan di negeri Kedah mencatat bilangan yang paling sedikit berbanding dengan negeri-negeri yang dinyatakan di atas iaitu seramai 2 606 orang, Jumlah ini menunjukkan pengurangan sejumlah 484 orang berbanding dengan tahun 2004.

            Pada tahun 2005 juga, bilangan penagih yang telah berjaya dikesan di negeri Johor adalah seramai 3 910 orang. Walaupun Perak lebih luas saiznya berbanding Johor, tetapi bilangan penagihnya adalah berkurangan sejumlah 570 penagih jika dibandingkan dengan penagih di Johor. Pengurangan bilangan penagih yang dikesan oleh pihak berkuasa di negeri ini menunjukkan satu kejayaan yang membanggakan dalam usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

            Pada tahun 2004, bilangan penagih yang dikesan di negeri Pulau Pinang masih lagi menunjukkan bilangan yang tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain pada tahun berkenaan. Walau bagaimanapun, bilangan tersebut telah berkurangan sejumlah 424 orang atau 6.66 peratus berbanding tahun 2005. Situasi yang berbeza ditunjukkan oleh negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Kedah. Kesemua negeri ini mencatatkan bilangan penagih yang lebih ramai pada tahun 2004 berbanding tahun 2005.

            Pihak berkuasa telah berjaya mengesan sejumlah 5 852 orang penagih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menunjukkan peningkatan sebanyak 946 orang atau 19.28 peratus pada tahun 2004. Peningkatan ini sering dikaitkan dengan kemasukan warga asing yang ramai terutamanya ke pusat hiburan di sekitar ibu negara. Negeri Johor yang merupakan pintu masuk utama dari Singapura memperlihatkan pertambahan jumlah penagih yang dikesan iaitu sebanyak 184 berbanding tahun 2005.

            Dalam usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja hari ini, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah yang telah menunjukkan terdapat sedikit keberkesanan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Tahun 2004/2005)


8.    Dengan menggunakan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan carta yang menunjukkan perbandingan keluasan kawasan ternakan akuakultur yang sedia ada bagi tahun 2004 dengan kawasan yang diperlukan bagi menjelang tahun 2010.

Sungguhpun sektor perindustrian berkembang  pesat sejak kebelakangan ini, namun sektor pertanian turut diberi perhatian yang sewajarnya. Sepanjang tempoh RMK-9, kerajaan  memperkenalkan konsep akuakultur ala FELDA yang  dimulakan secara besar-besaran meliputi ternakan ikan/ udang air tawar (kolam), ikan air tawar (sangkar), udang laut, kerang-kerangan serta rumpai laut serta beberapa ternakan yang dianggap sesuai.
            Secara keseluruhan, jumlah keluasan kawasan yang terlibat dengan ternakan di atas yang sedia ada dan telah beroperasi sehingga tahun 2004 adalah seluas 22 528 hektar. Kawasan yang telah diusahakan dengan ternakan ikan / udang air tawar (kolam) seluas 5 447 hektar yang meliputi setiap negeri. Hampir 76% atau 17 121 hektar daripadanya  diusahakan secara kecil-kecilan. Kedudukan yang bertaburan menyukarkan pihak kerajaan  menyediakan  bantuan kepada para penternak. Menjelang tahun 2010 nanti, adalah dijangka 6 500 hektar lagi diperlukan untuk diusahakan dengan ternakan tersebut sebagai menampung keperluan permintaan dalam negara. Tasik Kenyir, di Terengganu dipilih sebagai pusat ternakan yang melibatkan perbelanjaan melebihi RM 75.9 juta.
            Menjelang tahun 2010, secara keseluruhan kawasan ternakan yang diperlukan ialah seluas 36 905 hektar sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan import bahan makan dari luar. Daripada jumlah ini, sebanyak 5 042 hektar yang diperlukan untuk menyediakan kawasan ternakan ikan air tawar (sangkar). Projek ini memberi tumpuan utama  kepada ternakan ikan hiasan seperti ikan kelisa dan ikan emas. Pada tahun yang sama, seluas 4 163 hektar diperlukan bagi ternakan udang laut. Projek ini telah  dikenal-pasti di Sabak Bernam dan Pekan, Pahang. Hasil ternakan daripada projek ini dijangka akan menguasai 75% pasaran udang dalam negara dan selebihnya dieksport ke Negara-negara Asia.
            Permintaan kepada makanan berasaskan kerang-kerangan terus meningkat terutamanya kerang, dan siput sedut. Pada tahun 2004, kawasan yang telah sedia ada dengan ternakan ini ialah seluas 8 688 hektar  merupakan kawasan ternakan paling luas berbanding dengan ternakan lain. Namun begitu, ternakan berasaskan kerang-kerangan ini masih lagi memerlukan kawasan yang luas untuk memenuhi bekalan dalam pasaran. Menyedari hakikat ini, seluas 9 439 hektar masih diperlukan khusus untuk ternakan kerang-kerangan menjelang tahun 2010. Manakala bakinya adalah untuk lain-lain ternakan.
            Sehingga tahun 2004, sebanyak 3 689 hektar kawasan telah didaftar sebagai kawasan menternak ikan air tawar (sangkar). Projek ini banyak diusahakan oleh penternak yang tinggal berhampran dengan sungai. Projek ternakan ikan dalam sangkar yang terbesar diusahakan  penternak di sepanjang Sungai Pahang. Manakala  kawasan yang telah diusahakan dengan ternakan udang laut seluas 2 425 hektar di sekitar perairan Pulau Langkawi sepanjang tempoh yang sama.
            Projek ternakan rumpai laut  diusahakan oleh nelayan secara kecil-kecilan di sekitar perairan Sabah dan Sarawak. Menjelang tahun 2010 keluasan yang diperlukan ialah 9 543 hektar untuk ternakan ini berbanding dengan keluasan yang sedia ada sebanyak 1 676 hektar pada tahun 2004. Keluasan  selebihnya ialah untuk lain-lain ternakan.

                                    (Dipetik dan disesuaikan daripada Utusan Malaysia, Jun 2006)











No comments:

Post a Comment