Dasar : Dasar Perindustrian Negara
Latarbelakang
Di dalam dekad
50-an dan 60-an, program perindustrian di negara ini dijalankan sebagai usaha
untuk mempelbagaikan ekonomi negara yang pada masa itu amat bergantung kepada
getah dan bijih timah. Memandangkan harga kedua-dua komoditi ini tidak stabil,
kerajaan telah melancarkan program perindustrian untuk mencetuskan perkembangan
ekonomi yang lebih pesat dan stabil. Dasar pembangunan perindustrian pada masa
itu adalah tertumpu kepada industri-industri yang bercorak gantian import.
Sejak tahun
70-an, kerajaan di samping mempelbagaikan ekonomi telah menitikberatkan
pertumbuhan industri yang lebih pesat untuk menampung keperluan pekerjaan dan
Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam hal ini, tumpuan telah diberikan kepada
industri-industri yang berasaskan eksport dan industri yang mengunakan ramai
buruh.
Mulai tahun 80-an
pula, program perindustrian negara mengalami satu lagi perkembangan meneeusi
penggalakan industri berat. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi asas
perindustrian negara dan menambahkan kemahiran rakyat di bidang teknologi yang
lebih tinggi. Ia juga bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses perindustrian.
Kerajaan memainkan peranan secara langsung di dalam merancang, melaksana,
membiayai dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor swasta tidak
mampu menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan
projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya
dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang.
Walaupun pada
keseluruhannya perkembangan industri negara dalam tahun-tahun 60-an, 70-an dan
awal 80-an adalah memuaskan tetapi banyak masalah dan kelemahan masih wujud di
dalam sektor ini. Misalnya, pertumbuhan sektor eksport adalah tidak begitu
memuaskan jika dibandingkan dengan sektor dalam negeri. Eksport barang-barang
pembuatan Malaysia terlalu bergantung kepada segelintir industri sahaja seperti
elektrik dan elektronik dan tekstil. Mutu keluaran juga pada keseluruhannya
tidak begitu memuaskan dan tidak dapat bersaing dengan keluaran negara-negara
asing. Ini disebabkan tahap teknologi yang masih rendah dan kurangnya kemahiran
rakyat tempatan untuk mempertingkatkan atau memperbaharui teknologi yang
diterima dari luar. Satu masalah besar ialah kurangnya hubungkait di antara
sektor perindustrian dengan sektor-sekctor lain menyebabkan tidak wujudnya
integrasi ke hadapan dan ke belakang (back-ward and forward integration.)
Industri-industri yang ditubuhkan juga kurang mempunyai nilai ditambah (value
added) kerana banyak menumpukan kepada aktiviti pemasangan sahaja. Oleh itu,
sekiranya sektor perindustrian dikehendaki terus memainkan peranan utama dalam
pembangunan negara, perlulah diwujudkan matlamat-matlamat jangka panjang yang
disokong dengan dasar dan strategi pembangunan yang baru.
Selaras dengan
hasrat untuk mengenalpasti kelemahan ciri-ciri struktur serta mengatasinya,
kerajaan telah melancarkan dua kajian utama pada tahun 1983, iaitu Kajian Dasar
Perindustrian Malaysia (KDPM) dan Pelan Induk Perindustrian (PIP). KDPM benujuan
untuk menyemak dan mengubahsuai dasar-dasar perindustrian negara yang sedia ada
dan mengkaji semula galakan-galakan pelaburan dan dasar-dasar peningkatan
eksport. PIP pula bertujuan untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian
secara am dalam mengenalpasti strategi-strategi untuk sektor-sektor kecil yang
berpotensi untuk tumbuh dengan pesat. Dasar utama perindustrian telah mengambil
kira beberapa prinsip asas yang terkandung di dalam perakuan-perakuan kedua-dua
kajian ini.
Rasional
Penggubalan dasar
perindustrian negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi
proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama
pertumbuhan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada tahun
1985-1986 telah menunjukkan kelemahan dalam struktur industri negara.
Pengalaman dalam dekad 80-an di mana semua harga komoditi utama telah jatuh
secara serentak mendorong kerajaan memikirkan strategi-strategi ekonomi jangka
panjang untuk mengenalpasti dan mengatasi kelemahan-kelemahan struktur sektor
pembuatan ini. Seandainya masalah-masalah ini dapat diatasi, kerajaan yakin
sektor ini boleh memainkan peranan yang lebih dinamik lagi melalui
sumbangan-sumbangan yang lebih besar dari segi menambah eksport, mengadakan
lebih banyak peluang-peluang pekerjaan serta memperbanyakkan peluang-peluang
latihan teknikal dan kemahiran.
Pada jangka
panjangnya, PIP diharapkan dapat meletakkan asas yang kukuh bagi negara ini
menjadi sebuah negara perindustrian yang maju. Jelas di negara-negara
perindustrian yang ada sekarang, sektor perkilangan (selain daripada sektor
perkhidmatan) merupakan sektor yang terpenting dalam menggerakkan jentera
pembangunan negara. Banyak negara maju dan negara perindustrian dahulunya
merupakan negara-negara pertanian yang mundur, tetapi oleh kerana mereka
memasuki bidang perindustrian dengan bersungguh-sungguh, hari ini mereka telah
maju.
Walaupun bidang
pertanian di Malaysia merupakan satu kegiatan ekonomi yang penting namun
demikian pertanian tidak mungkin dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
bagi puluhan ribu lulusan sekolah dan institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Objektif
Objektlf Pelan Induk Perindustrian
(PIP)
Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh Menteri
Perdagangan dan Perindustrian pada 3 Februari, 1986 telah menggariskan tiga
matlamat iaitu:
(a) Menjadikan
sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuhan
perindustrian negara;
(b) Menggalakkan
penggunaan sepenuhnya sumber asli negara; dan
(c) Meninggikan
tahap penyelidikan dan pembangunan (R & D) teknologi
tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara
perindustrian.
Strategi Pelaksanaan
Strategi Pelan Induk Perindustrian
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, PIP telah
mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan. Tujuh daripada
sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber tempatan iaitu industri yang
berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia, logam bukan ferus
dan keluaran-keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri
yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan
pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan
pakaian. Kesemua industri ini telah dipilih berasaskan kepada potensi untuk
mencapai matlamat memperluaskan asas industri negara. PIP juga telah
mencadangkan langkah-langkah berikut diambil supaya Malaysia dapat mencapai
taraf sebuah negara perindustrian:
(a) Melaksanakan
dasar perindustrian yang berpandangan ke luar.
Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang
tinggi, Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran
perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu
faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang
lebih tinggi dan lebih kompetitif;
(b) Memajukan
secara intensif industri-industri berasaskan sumber
untuk eksport dan mempelbagai serta meningkatkan industri
bukan berasaskan sumber untuk eksport. Dari 12 sektor industri yang terpilih,
beberapa keluaran/industri telah dikenalpasti sebagai keluaran/industri
keutamaan untuk dimajukan;
(c) Memajukan
industri-industri berat terpilih untuk menyokong
industri-industri eksport. Strategi ini dipilih memandangkan
kerajaan sudahpun membuat pelaburan yang banyak dalam beberapa jenis industri
berat. Usaha-usaha perlu ditumpukan kepada memastikan kejayaan projek-projek
itu dahulu sebelum menceburi bidang-bidang industri berat yang lain;
(d) Memaju
dan menggunakan sistem perkhidmatan maklumat yang
bersepadu;
(e) Membangunkan
teknologi dan tenaga rakyat;
(f) Mengurangkan
perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan
memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri-industri di
kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
Penubuhan industri-industri diutamakan di sepanjang western corridor di pantai
barat Semenanjung yang mempunyai hampir 75-80 peratus penduduk dan di mini
corridor di pantai timur. Semenanjung, dengan tumpuan di kawasan sekitar Kota
Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan, dan di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak
seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu;
(g) Memoden
dan menyusun semula struktur perindustrian dengan
mempertingkatkan pembangunan industri-industri kecil dan
sederhana kerana sektor ini merupakan tulang belakang proses perindustrian
seperti yang ternyata di negara Taiwan dan menyusun semula industri-industri
yang kurang berkesan tetapi penting dalam ekonomi negara;
(h) Memperkukuhkan
institusi-institusi yang bertanggungjawab kepada
pembangunan sektor pembuatan; dan
(i) Menyusun
semula sistem galakan perindustrian yang sedia ada
untuk memupuk kecekapan dan daya bersaing yang lebih tinggi.
Penutup
PIP merangkumi
strategi-strategi dan langkah-langkah yang boleh membawa Malaysia ke dalam era
sebuah negara perindustrian dan seterusnya menjadi teras kepada sebuah negara
maju. Melaluinya, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih diterajui oleh
pertumbuhan dalam sektor eksport yang berlandaskan strategi industrialisasi
yang outward-looking. Sejauh mana ini akan mencapai hasil yang baik bergantung
kepada keupayaan pekilang-pekilang di Malaysia mengekal, jika tidakpun
meningkatkan lagi, daya saing di pasaran antarabansa yang penuh cabaran itu.
No comments:
Post a Comment